KESEDERHANAAN DALAM BERPERUBATAN


Oleh: Naseer Sobree


Sebelum kita mendalami ilmu Tibb Nabawi atau mana-mana ilmu perubatan, eloklah saya nyatakan pendekatan yang saya pilih dalam hal ini. Saya sedar mengenai kepelbagaian mazhab, pendapat dan aliran dalam perubatan, pemakanan, diet dan lain-lain. Saya memilih pendekatan “ugahari” yakni kesederhanaan dan keseimbangan. Ini bererti kita saling meraikan kepelbagaian pendapat dalam kaedah perubatan selagimana kaedah itu tidak mendatangkan mudarat.


Tidak dinafikan ada kaedah tertentu yang baik, lebih baik dan paling baik. Namun hal itu bukanlah mutlak. Boleh jadi kaedah itu baik untuk kita tetapi tidak baik untuk orang lain. Begitulah juga dalam aspek pemakanan. Memang ada makanan yang lebih berkhasiat dan kurang berkhasiat. Tetapi kita tidak boleh menghina sesuatu makanan sehingga mengatakan ianya “racun” atau “sampah”. Nabi SAW melarang kita menghina makanan. Ada orang yang baru cuba mengamalkan makanan berkhasiat, maka janganlah dicela makanan kurang berkhasiat yang masih dia amalkan.


Tidak berbaloi untuk kita berbalah dan bergaduh dalam urusan perubatan sehingga mencacatkan akhlak dan adab kita. Jika kita faham Tibb Nabawi, maka kita akan tahu bahawa kesihatan rohani adalah lebih penting daripada kesihatan jasmani. Adakah kita sanggup membiarkan rohani kita sakit dengan mencela dan menghina hanya kerana ingin mempertahankan kaedah penjagaan jasmani yang tidak mutlak dan boleh berubah-ubah? Tentulah tidak berbaloi.


Pendekatan ini dapatlah saya simpulkan sebagai “Kesederhanaan Dalam Berperubatan” (الاقتصاد في الطبابة). Semoga Allah kurniakan kesihatan rohani dan jasmani kepada kita semua, insya-Allah.

Popular Posts